KUALA LUMPUR, 27 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghormatan kepada bekas Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh, 92, yang meninggal dunia semalam.
Dalam kenyataan melalui Facebook rasmi beliau, Anwar menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang tokoh besar yang disifatkan sebagai sahabat sejati.
"Berat rasa duka menyelubungi saya dengan berita pemergian sahabat yang saya hormati dan kasihi, Dr Manmohan Singh," katanya.
Anwar menyifatkan Dr Manmohan Singh sebagai arkitek reformasi ekonomi India yang menjadi asas kepada kebangkitan negara itu sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia.
Beliau turut mengenang detik-detik bekerjasama dengan Dr Manmohan Singh ketika kedua-duanya menjawat jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an.
"Kami berkongsi komitmen mendalam dalam memerangi rasuah, malah pernah bekerjasama untuk membongkar satu kes besar," ujar Perdana Menteri.
Anwar juga mengimbas jasa peribadi Dr Manmohan Singh yang jarang diketahui umum terutama ketika beliau berada dalam tahanan termasuk menawarkan biasiswa pendidikan kepada anak-anaknya.
"Walaupun saya menolak tawaran tersebut, isyarat tersebut jelas menunjukkan kemanusiaan dan kemurahan hatinya yang luar biasa. Dalam hari-hari gelap itu, ketika saya mengharungi liku-liku penjara, beliau berdiri teguh bersama saya sebagai seorang sahabat sejati," jelas Anwar.
Perdana Menteri turut memuji Dr Manmohan Singh sebagai seorang negarawan yang berintegriti, teguh dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
"Dr Manmohan Singh, walaupun kelihatan sedikit janggal sebagai ahli politik, (namun) tidak dapat dinafikan (beliau) teguh, berintegriti dan tabah sebagai negarawan," katanya.
Anwar menutup kenyataan dengan penghormatan penuh emosi kepada sahabat lamanya itu, "Selamat tinggal, mitra (sahabat), bhai (saudara) saya, Manmohan."
Dr Manmohan Singh yang memegang jawatan Perdana Menteri dari 2004 hingga 2014 dibawa ke sebuah hospital di New Delhi selepas kehilangan kesedaran di rumahnya, semalam.
Pelbagai usaha kecemasan dilakukan namun beliau disahkan meninggal dunia pada hari sama, menurut kenyataan Institut Sains Perubatan India (AIIMS).
India hari ini mengumumkan tujuh hari berkabung negara susulan pemergian mendiang dan Dr Manmohan Singh juga akan diberikan pengebumian negara.
BERITA BERKAITAN