PUTRAJAYA, 22 Disember - Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan dijadikan kawasan yang bersih, selamat serta ditadbir dengan baik.
Itu komitmen Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebaik melaporkan diri secara rasmi di sini hari ini.
Komitmen itu disuarakan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk pelbagai peringkat usia, serta mereka yang berpindah ke kawasan bandar.
"Mereka akan dapat menikmati kehidupan, bukan sahaja untuk golongan muda tetapi juga untuk penduduk yang berpindah ke kawasan ini. Ia juga sangat penting bagi kita untuk mewujudkan suasana mesra perniagaan.
"Saya melihat beberapa komen yang menyuruh para pemaju berhati-hati kerana saya menjadi menteri (Wilayah Persekutuan). Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menentang pembangunan. Saya hanya menentang pembangunan yang tidak benar-benar membangunkan. Di Kuala Lumpur, saya sangat mengambil berat tentang situasi hujan lebat dan kesannya. Sebab itulah kita perlu peka dan mengambil kira suara serta kebimbangan rakyat," katanya.
Hannah dalam pada itu memberi jaminan, kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, termasuk Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru akan terus dipelihara dan diberi perhatian sewajarnya.
Tambahnya,kerajaan sentiasa komited kepada pelaksanaan dasar dengan baik tanpa mengira latar belakang rakyat.