fb fb fb fb fb

Pelaporan berhemah penting pelihara maruah mangsa, hubungan serantau - MPI

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Institut Akhbar Malaysia (Malaysian Press Institute, MPI) menegaskan bahawa pelaporan berkaitan bencana alam, tragedi dan isu kemanusiaan perlu dilaksanakan secara beretika, berfakta dan berperikemanusiaan, dengan mengambil kira sensitiviti budaya, tata susila serta hubungan antara negara, khususnya dalam konteks pelaporan rentas sempadan.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, media memikul tanggungjawab besar bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah membentuk kefahaman awam, memelihara maruah mangsa serta menjaga keharmonian hubungan dua hala dan serantau.

Menerusi kenyataan media, dalam situasi bencana dan krisis kemanusiaan, pelaporan kewartawanan tidak wajar dipengaruhi emosi melampau, sensasi atau naratif yang boleh mencetuskan salah faham.

Mengulas kejadian bencana alam yang berlaku di Pulau Sumatera baru-baru ini serta pendirian kerajaan Indonesia yang memilih untuk tidak menerima bantuan luar negara, beliau menegaskan media perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membentuk naratif pelaporan agar tidak menimbulkan salah tafsir atau persepsi negatif.

“Pelaporan perlu berteraskan kepercayaan, ketepatan fakta serta kefahaman menyeluruh terhadap realiti sebenar di lapangan.

“Media perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membentuk naratif pelaporan agar tidak menimbulkan salah tafsir atau persepsi negatif,” tegasnya.

Beliau berkata, pelaporan yang tepat, seimbang dan berhemah bukan sahaja memastikan masyarakat menerima maklumat sebenar, malah penting dalam mengekalkan hubungan baik dan persefahaman antara Malaysia dan Indonesia yang berkongsi sejarah, budaya serta kepentingan strategik serantau.

Dalam masa sama, media Malaysia yang membuat liputan berkaitan bencana tersebut diingatkan agar mengekalkan standard etika yang tinggi, bersikap prihatin terhadap musibah yang berlaku di Acheh dan beberapa wilayah di Sumatera Utara, serta menghormati dasar dan keputusan yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia.

Sehubungan itu, MPI menasihatkan pengamal media tempatan supaya mengamalkan pelaporan yang menghormati hubungan dua negara, berprinsip setiakawan serta menzahirkan empati, kepekaan dan rasa tanggungjawab bersama dalam menyampaikan maklumat berkaitan bencana dan kemanusiaan.

MPI turut menegaskan latihan profesional yang dilaksanakan sentiasa menekankan kepentingan kefahaman konteks lapangan, implikasi diplomatik serta tanggungjawab sosial media dalam setiap pelaporan berkaitan krisis dan tragedi.

Jelasnya, wartawan yang beretika dan berintegriti perlu mengutamakan nilai kemanusiaan, empati dan tanggungjawab sosial, dengan media berperanan sebagai saluran yang menyatukan, membina persefahaman dan memperkukuh kepercayaan, khususnya ketika masyarakat berdepan saat sukar.

AZRUL FAIZAL JUSOH