KUALA LUMPUR, 22 Disember - Pencapaian Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan tersebut adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.
"Masih belum terlewat untuk kita merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar berkata persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa, bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia.
Tambahnya, lebih dari itu sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang merentasi kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.
"Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa", katanya.