PUTRAJAYA, 6 Oktober- Taman tema berkonsepkan ‘edutainment’, Wetland Studios Putrajaya yang akan dibuka pertengahan tahun hadapan dijangka menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu kepada pengunjung.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, PPj dengan ini mengumumkan bangunan NIC (Nature Interpretation Centre) Taman Wetland Putrajaya kini dijenamakan sebagai Wetland Studios Putrajaya.
Pusat Penghayatan Alam (NIC) Taman Wetland setelah beroperasi selama 10 tahun, ia perlu ditambah baik dengan menjalin kerjasama strategik bersama syarikat media dan hiburan tempatan, KRU Studios Sdn Bhd.
(Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif
KRU Studios Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim menandatangani dokumen
perjanjian antara PPj dan KRU Studios)
"PPj juga bersetuju dengan cadangan dari KRU Studios untuk memperluaskan skop kandungan yang disediakan bertemakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan spesies-spesies hidupan dari era pra-sejarah sehingga kini, dengan penekanan khususnya kepada fungsi dan peranan wetland air tawar sebagai salah satu sumber utama biodiversiti alam di Putrajaya," katanya selepas menandatangani dokumen perjanjian antara PPj dan KRU Studios di sini, semalam.
Fadlun berkata, kerjasama strategik bersama sektor swasta ini adalah untuk menggalakkan pelaburan sektor pelancongan dengan pendekatan teknologi terkini bagi mengadakan pusat pameran interaktif yang lebih kreatif selaras dengan perubahan teknologi semasa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim, bagi merealisasikan usahasama ini, KRU Studios selaku pihak operator pusat pameran interaktif alam ini akan menyediakan peralatan, teknologi dan ‘creative-content’ sekaligus memasarkan dan menguruskan pusat pameran interaktif dan sumber maklumat di Pusat Penghayatan Alam (NIC), Taman Wetland.
"Kepelbagaian tarikan baharu yang bakal dibangunkan merangkumi pameran kreatif dan interaktif berbentuk digital dan fizikal seperti 'animatronics' " katanya di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Wetland Studios Putrajaya kini masih ditutup sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan dan naik taraf dijalankan.
Kerja-kerja ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan April 2023.
Pusat Penghayatan Alam Taman Wetland yang kini dikenali sebagai Wetland Studios diharapkan akan menjadi daya tarikan pelancongan Putrajaya serta menyediakan peluang pekerjaaan serta perniagaan bagi penduduk setempat di Putrajaya dan kawasan sekitarnya.