TAWAU, 14 Ogos - Sebuah Wellness Hub bakal dibina di Tawau sebagai langkah memperkukuh pencegahan dan rawatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di daerah ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, pembinaan pusat kesihatan komuniti itu merupakan inisiatif jangka panjang untuk menangani peningkatan kes NCD yang kian membimbangkan, termasuk diabetes, hipertensi, berat badan berlebihan dan obesiti.
“Tahun lalu sahaja, Tawau mencatat lebih 8,000 kes NCD. Ini adalah beban kesihatan yang perlu ditangani secara sistematik dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bangunan Kesihatan Ibu dan Anak (MCH) di Klinik Kesihatan (KK) Merotai Besar, di sini.
Bangunan MCH yang baharu ini mula beroperasi awal tahun 2024 di bawah projek Klinik Daif, akan memperkukuh penjagaan kesihatan ibu & anak di Merotai dan kawasan sekitarnya.
Beliau pada masa sama, mengumumkan projek naik taraf KK Merotai Besar yang dilengkapi kemudahan X-ray dan pergigian.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut melancarkan inisiatif Mobile Pharmacy, Jalinan Kasih Demi Kesihatan Anak Merotai, hasil kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah.
Perkhidmatan 'Rider Mobile Pharmacy' ini merupakan satu inisiatif yang selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),
Perkhidmatan ini membolehkan ubat preskripsi susulan dihantar terus ke rumah pesakit tanpa caj.