KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Malaysia bakal menjadi pentas utama industri kreatif Asia Tenggara apabila Riuh x ASEAN 2025 menghimpunkan artis, usahawan dan penggiat seni dari seluruh rantau ini bermula 17 hingga 26 Oktober depan.
Acara anjuran MyCreative Ventures itu akan mengetengahkan elemen seni, budaya, muzik serta keusahawanan, selari dengan visi ASEAN 2025 yang menekankan perpaduan, keterangkuman dan kelestarian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penganjuran tersebut adalah edisi Riuh berskala besar pertama yang berstatus ASEAN, bersempena Kepengerusian ASEAN–Malaysia.
“Ia akan menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya, muzik dan keusahawanan tempatan serta komuniti serantau,” katanya pada sidang media sempena Riuh Hangout 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Antara acara utama ialah Riuh x ASEAN Marketplace yang akan diadakan dari 22 hingga 26 Oktober di Kuala Lumpur, menampilkan lebih 200 jenama dan 100 vendor makanan serta minuman dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Selain itu, lebih 40 persembahan pentas, 30 bengkel interaktif dan 20 pemasangan kreatif turut menjadi platform jaringan industri kreatif rantau ini.
“Kita juga akan adakan FrequenSEA – ASEAN Music Conference pada 21 dan 22 Oktober di lokasi yang sama, menghimpunkan pemuzik, penerbit, pencipta kandungan dan pemimpin industri dari rantau ini serta antarabangsa. Masuk adalah percuma,” jelasnya.
Siri pop-up Riuh Gallery pula akan bermula 1 Oktober di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang, memberi peluang bakat tempatan mempersembahkan muzik indie, komedi, sastera, puisi dan seni visual.
Datuk Fahmi turut mengumumkan Riuh Merdeka 2025 yang akan berlangsung 30 jam tanpa henti pada 30 hingga 31 Ogos di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya.
“Kita jangkakan sekurang-kurangnya 20,000 hingga 30,000 pengunjung akan hadir.
Arahan saya kepada pasukan Riuh ialah memastikan banyak menu Rahmah disediakan untuk warga yang datang bersama keluarga,” katanya.
Acara itu bakal menampilkan artis terkemuka seperti Yuna, Misha Omar, Hafiz Suip, Alif Satar & The Locos dan Ayda Jebat, selain pertunjukan bunga api, pameran seni, bengkel komuniti dan pelbagai aktiviti keluarga.