fb fb fb fb fb

Malaysia, ASEAN bincang pelaksanaan Pilihan Raya Myanmar

Datuk Seri Mohamad Hasan

SENAWANG, 14 Ogos - Lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 September depan antara lain adalah untuk membincangkan kaedah pelaksanaan pilihan raya yang dirancang di negara berkenaan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lawatan itu akan dilakukan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Filipina serta Thailand.

Pertemuan delegasi itu dengan Pemangku Presiden Myanmar merupakan usaha dalam memastikan proses pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Myanmar.

Datuk Seri Mohamad berkata, hasil lawatan tersebut akan dibentangkan kepada kepimpinan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober depan.

"Selagi keadaan keselamatan dan kestabilan politik di Myanmar tidak pulih serta kerajaan yang dipilih secara demokratik belum dibentuk, isu pelarian Rohingya tidak akan dapat diselesaikan. Bangladesh terpaksa menguruskan 1.3 juta orang Rohingya di negara mereka, khususnya di kawasan Cox's Bazar.

"Sekarang ini kita terpaksa mengurus pelarian Rohingya hampir 150,000 yang melarikan diri. Sebagai anggota kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kita menerima mereka untuk sementara waktu bukan untuk selamanya.

"Tetapi keadaan di Myanmar tidak memungkinkan rakyat mereka kembali semula ke negara itu. Kita mahu pastikan supaya keadaan ketenteraman di Myammar dapat diurus dan kembali seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, di sini.

Pada masa sama Datuk Seri Mohamad menyatakan Myanmar juga perlu mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) termasuk gencatan senjata, dialog inklusif dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan sebagai langkah utama ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan negara itu.

Beliau mahu mendapatkan perincian lanjut berhubung pilihan raya tersebut, memandangkan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) Myanmar mengenakan darurat ke atas 63 bandar atau kawasan.

Pada 31 Julai lepas, junta Myanmar dilaporkan mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi menganjurkan pilihan raya umum hujung tahun ini, sekali gus menamatkan perintah darurat yang berkuat kuasa sejak rampasan kuasa 2021.

Berikutan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan baharu yang turut dipengerusikan Min Aung Hlaing, junta memaklumkan bahawa perintah darurat secara rasmi ditamatkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI