NILAI, 14 Ogos - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengorak langkah strategik dengan melantik Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) sebagai Pengerusi Technical Working Group (TWG) Pemerkasaan Agro Institusi TVET@KKDW.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, pelantikan itu bertujuan menimpin hala tuju pembangunan kemahiran pertanian negara di samping memperkasa adaptasi teknologi dan inovasi agro.
"Saya menyeru agar UCAM mengukuhkan AgroTVET@KKDW sebagai simbol kemajuan pertanian moden, dengan memberi fokus kepada kurikulum pertanian pintar selaras Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), mekanisasi dan automasi ladang.
"Selain itu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor agro, pembangunan industri halal berasaskan agro, pengukuhan kerjasama strategik industri global, dan pembentukan Pusat Rujukan Inovasi Agro Serantau," katanya.
Langkah itu bakal melahirkan generasi usahawan tani yang kompeten, inovatif, dan berdaya saing seterusnya mengangkat martabat sektor agro negara ke persada antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) ke-21 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Pada majlis konvokesyen itu, seramai 467 orang graduan yang menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Sijil Program Eksekutif dan Sijil Kemahiran Malaysia.