
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menggesa orang ramai merancang perjalanan pulang hujung minggu ini susulan peningkatan trafik ke arah Lembah Klang.
- WCE gesa orang ramai merancang perjalanan pulang hujung minggu ini susulan peningkatan trafik ke arah Lembah Klang.
- Pengguna dinasihatkan muat turun aplikasi WCE untuk maklumat trafik masa nyata, CCTV langsung dan perkembangan lebuh raya.
- Pastikan kenderaan selamat, patuhi had laju; lorong kecemasan bukan untuk motosikal; kemudahan pengecas EV tersedia di beberapa plaza tol.
Peningkatan itu dijangka berlaku berikutan berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah serta ketibaan Ramadan.
WCE memaklumkan kesesakan paling ketara dijangka bermula pertengahan petang hingga lewat malam di laluan masuk ke Lembah Klang, dengan jumlah kenderaan harian diunjurkan melebihi 160,000.
“Berbeza dengan aliran keluar yang berperingkat pada awal musim perayaan, perjalanan pulang kali ini dijangka lebih padat susulan keperluan orang ramai untuk kembali kepada rutin harian menjelang awal Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta memuat turun aplikasi WCE bagi mendapatkan maklumat trafik masa nyata, paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung dan perkembangan terkini keadaan lebuh raya.
WCE turut mengingatkan pengguna supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan, mematuhi had laju serta sentiasa berwaspada sepanjang perjalanan.
Penunggang motosikal juga diingatkan bahawa lorong kecemasan bukan lorong khas motosikal dan dikhaskan sepenuhnya untuk kegunaan kecemasan.
“Bagi pengguna kenderaan elektrik (EV), kemudahan pengecasan disediakan di Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Taiping Selatan di jajaran Perak, serta Plaza Tol SAE dan Plaza Tol Assam Jawa di jajaran Selangor,” katanya.
Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan, pengguna boleh menghubungi Talian Infoline WCE di 1700-81-6600.