fb fb fb fb fb

Wau puyuh gergasi warnai sambutan Hari Kebangsaan di Tumpat

Sebanyak 300 wau, termasuk 20 wau puyuh gergasi, dipamerkan dan bakal dinaikkan jika cuaca mengizinkan.

TUMPAT, 31 Ogos - Kira-kira seratus pembuat wau dari seluruh Kelantan menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghias wau puyuh bertemakan Jalur Gemilang sempena acara Layangan Merdeka 4.0 yang berlangsung di Pantai Geting, Tumpat hari ini.

Acara kali ini menyaksikan sebanyak 300 wau, termasuk 20 wau puyuh gergasi, diterbangkan ke udara.

Wakil penganjur, Muhammad Nor Akraminudin Mohd Razihan, yang juga seorang guru di Kuala Lumpur, menjelaskan bahawa persiapan dan hebahan mengenai acara ini telah dilakukan sejak tiga bulan lalu, walaupun terikat dengan tugasnya.

"Acara kali ini mendapat sambutan luar biasa, terutama dari golongan belia yang hadir secara berkumpulan, termasuk mewakili kampung masing-masing," katanya.

Menurut Muhammad Nor, tujuan acara ini adalah untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara dengan cara yang unik dan tersendiri.

"Kami ingin melahirkan semangat anak muda yang cintakan negara, dan dengan tema Jalur Gemilang pada wau, ia melambangkan kebebasan dan semangat kemerdekaan," tambahnya.

Acara Layangan Merdeka 4.0 ini dianjurkan secara inisiatif sendiri oleh Muhammad Nor bersama beberapa rakannya. Walaupun tiada hadiah ditawarkan, penyertaan tahun ini lebih menggalakkan berbanding tahun sebelumnya.

Salah seorang pemilik wau puyuh gergasi, Muhammad Adam Iman Mohd Saufi, berkongsi bahawa dia dan sembilan rakannya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan wau bersaiz 5.5 meter itu.

"Kos keseluruhan adalah sekitar RM1,000 dan kami menggunakan modal sendiri untuk menyertai acara ini," ujarnya.

Acara ini berjaya menarik perhatian ramai dan menjadi salah satu simbolik perayaan Hari Kebangsaan di Kelantan kerana keunikkan wau-wau puyuh yang dihias dengan Jalur Gemilang yang berterbangan di udara.

GRACE AISYAH KEDAYAN