fb fb fb fb fb

Waspada tawaran 'tidak masuk akal' elak penipuan koperasi

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Azam Sulaiman / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Masyarakat diingatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran oleh koperasi yang menjanjikan pulangan atau dividen yang tidak munasabah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Azam Sulaiman berkata, kerjasama berterusan antara pihaknya dan agensi penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi mengekang penyalahgunaan platform koperasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sekali gus menjaga kebajikan ahli koperasi.

"Orang ramai disarankan untuk merujuk pihak kami sama ada dengan mengunjungi pejabat SKM, menghubungi melalui telefon atau saluran lain yang disediakan bagi mendapatkan pengesahan berkaitan status sesebuah koperasi.

Setiap koperasi yang sah perlu berdaftar dengan SKM dan segala maklumat berkaitan boleh diperoleh daripada suruhanjaya tersebut. Langkah ini juga dapat membantu menjelaskan kedudukan sebenar sesebuah koperasi, terutama sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku. Masyarakat tidak perlu bimbang kerana insyaallah, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kepentingan ahli koperasi dan orang ramai dapat dijaga," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai koperasi boleh mengunjungi sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang sedang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang bermula 25 Julai dan berakhir esok.

Beliau turut memaklumkan, antara kesalahan yang dikenalpasti melibatkan syarikat koperasi termasuk kegagalan mengemukakan akaun untuk diaudit serta tidak mengadakan mesyuarat agung seperti yang ditetapkan di bawah Akta Koperasi.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE