(Kebaikan dan keburukan dikongsikan Facebook Public Health Malaysia/FOTO Public Health Malaysia)
KUALA LUMPUR, 30 Januari - Setiap kali melayari media sosial pasti kita akan melihat video permainanan baharu yang semakin tular iaitu dikenali sebagai lato-lato.
Permainan lato-lato kini menjadi kesukaan pelbagai golongan remaja, dewasa atau pun kanak-kanak. Sehingga disekeliling kita juga ada yang bermain lato-lato tidak kira masa atau tempat.
Pasti timbul pertanyaan adakah permainan lato-lato ini mempunyai kebaikan atau keburukannya selain memerlukan pemantauan daripada ibu bapa.
Tahukah anda, lato-lato ini sebenarnya sesuai untuk kanak-kanak yang berusia 8 tahun ke atas.
Menurut Facebook Public Health Malaysia, permainan lato-lato dikenali sebagai Clacker yang popular pada 50 tahun yang lalu telah diharamkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) kerana menyebabkan risiko kecedaraan kepada kanak-kanak.
Pada ketika itu, kerisauan utama adalah bebola pecah dan menyebabkan kecedaraan kepada kanak-kanak.
"Selepas 50 tahun, permainan ini popular di negara jiran Indonesia dan kini berjangkit ke negara kita. Masih awal lagi, tetapi sudah ada kes-kes kecederaan melibatkan permainan ini," katanya.
Dalam pada itu, pihak tersebut akui lato-lato juga ada kebaikannya iaitu melatih koordinasi, mengurangkan ketagihan pada gajet, merangsang kemampuan dan kawalan motor, baik untuk fokus serta meningkatkan hubungan emosi dan stabil.
"Sebaiknya untuk mengelakkan kecederaan, pantau anak ketika bermain. Anak yang terlalu kecil yang masih belum stabil fungsi koordinasi mungkin kurang sesuai bermain," jelasnya.
Manakala dari segi keburukan pula permainan tersebut boleh mendatangkan risiko kecederaan pada mata, muka dan tangan, selain berisiko terjerut leher tali lato-lato.
"Pencemaran bunyi mungkin membingitkan, sebab itu penting untuk hadkan tempoh bermain. Kalau siang malam main tanpa henti memang stress (tertekan) ibu ayah," tambahnya.