fb fb fb fb fb

Remaja 17 tahun antara tiga individu didakwa lakukan pemerasan

JEMPOL, 30 Januari- Tiga lelaki termasuk seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret Bahau atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap seorang peniaga.

Ketiga-tiga tertuduh Mohamad Fairul Mohd Alwi, 23 tahun; Mohamad Emran Faiz Yahya, 28 tahun dan seorang remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 24 tahun untuk menyerahkan wang sebanyak RM14,000.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Felda Serting Hilir 5, kira-kira pukul 1.00 pagi pada 23 Januari lalu.

(Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadapp seorang lelaki untuk menyerahkan wang RM14,000)

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Majistret membenarkan Mohamad Fairul dan Mohamad Emran diikat jamin RM11,000 setiap seorang manakala seorang lagi tertuduh diikat jamin RM4,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Media Baharu