KUALA LUMPUR, 26 April- Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nursyamimi Syahira Saripan, menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hati yang juga jurukamera RTM, Muhammad Zamir Zamri, hari ini.
Kedua-dua mempelai selamat diijab kabul pada pukul 10.22 pagi di Majestique Palace, Axis Atrium, Ampang, Kuala Lumpur.
Majlis penuh istiadat Melayu itu turut mengetengahkan elemen kemelayuan seperti berbalas pantun dan adat "tol" sebelum menaiki pelamin.
Pada masa sama, tarian dan nyanyian tradisional Melayu turut dipersembahkan oleh penyanyi, Hariz Fayahet.
"Kami berkenalan kerana bekerja di pejabat yang sama. Selalu membuat liputan bersama menyebabkan kami menjadi kawan baik. Lama-kelamaan, orang kata jodoh itu datang, dan kami akhirnya disatukan. Saya seorang wartawan, manakala dia pula jurukamera, jadi perjalanan ini memang sangat manis," kata wartawan, Nursyamimi.
"Saya berharap Mimi menjadi seorang isteri yang solehah serta dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, amin, insya-Allah. Kami juga memohon doa agar kami sentiasa bahagia di dunia dan akhirat," kata jurukamera RTM, Muhammad Zamir.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, turut hadir dan mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, "Bila Hati Terpikat" untuk kedua-dua mempelai.
Majlis tersebut turut dihadiri lebih 1,000 tetamu, termasuk pengurusan RTM dan rakan-rakan sekerja.
"Selamat pengantin baru diucapkan kepada Syamimi dan Mohd Zamir. Semoga bahagia melayari alam perkahwinan dan terus maju jaya dalam kerjaya masing-masing," kata Ketua Penolong Pengarah Seksyen Berita TV RTM, Dr Haida Baba Zain.
"Mewakili Bilik Berita RTM, kami ingin mengucapkan selamat pengantin baru dan tahniah kepada Mimi dan Zamir. Alhamdulillah, keluarga bilik berita kami semakin bertambah besar. Semoga kalian terus berbahagia hingga ke anak cucu, insya-Allah," kata Ketua Pemberita, Mohd Yunus Mohd Nor.
"Kepada Mimi dan Zamir, saya ucapkan selamat pengantin baru dan semoga berbahagia hingga ke akhir hayat, Insya-Allah," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi, Farahiah Mohd Zubir.