BAGAN DATUK, 26 April- Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MTVET) salur RM1 juta peruntukan kepada Universiti Selangor (UNISEL).
Dana itu bertujuan bagi mengendalikan kursus berkaitan TVET yang relevan dengan permintaan pasaran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bertepatan, memandangkan kursus TVET yang dikendalikan menjanjikan permulaan gaji yang baik, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan pelajar lepasan TVET.
"Walaupun gaji minimum telah ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM1,700 tetapi insya-Allah lepasan TVET terutamanya dari UNISEL.
Gaji minimum majikan akan berikan sebanyak RM3,000 dengan syarat kursus-kursus itu mesti sesuai dengan pasaran," kata Zahid kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Karnival Raya Bagan Datuk sempena Jelajah Malaysia MADANI UNISEL Depani, di sini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memaklumkan enam buah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan terus menjalinkan kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan kursus-kursus ditawarkan sesuai permintaan pasaran.
Dalam pada itu, bagi merancakkan ekonomi GIG, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menggesa golongan terbabit turut menyambung pengajian dalam bidang kemahiran sekali gus dilihat sebagai pilihan kedua kerjaya melalui sijil-sijil kemahiran yang ditawarkan.
"Kita mahu supaya mereka dapat kursus-kursus kemahiran dalam TVET daripada SKM, satu sijil hingga sijil kemahiran, tiga sekurang-kurangnya.
UNISEL menyediakan kepada SKM empat dan lima yang sama dengan diploma dan boleh sambung SKM, enam dan tujuh yang sama dengan ijazah. Kita mahu memberi peluang kedua. Walaupun kita tidak cemerlang di dalam bidang akademik tetapi jangan pernah putus asa," tambah Zahid.