KUALA LUMPUR, 26 April- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan pegawai avatar pertamanya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan SARA.
Usaha itu bertujuan mempromosikan mesej antirasuah di platform media sosial, selaras dengan arus kemajuan teknologi semasa.
Avatar itu diperkenalkan menerusi tayangan montaj ketika majlis Anugerah Media SPRM Kali ke-5 semalam.
Tayangan montaj tersebut menjadi simbolik penghargaan SPRM kepada para karyawan media serta mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam menyokong usaha media menyebarkan mesej integriti dan antirasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut menyeru agar prinsip kewartawanan beretika terus dikekalkan dengan penekanan kepada keutamaan fakta, penolakan spekulasi, serta penelitian sumber sebelum penerbitan laporan.
Ini kerana dalam era digital yang pantas dan tidak menentu ini, penyebaran berita palsu boleh menyebabkan imej institusi tercemar, keyakinan rakyat terhakis serta usaha pembaharuan terjejas.