fb fb fb fb fb

Permohonan BKK IPT Sarawak dibuka 1 Mei

FOTO RTM

KUCHING, 26 April – Permohonan Bantuan Kewangan Khas (BKK) untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sarawak akan dibuka mulai 1 Mei ini menerusi laman sesawang Yayasan Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, seramai 60,000 pelajar IPT awam dan swasta dari Sarawak bakal menerima bantuan berjumlah RM1,200 yang akan dikreditkan mulai 28 Jun depan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pemohon perlu memenuhi beberapa syarat utama iaitu ibu atau bapa mestilah rakyat Sarawak, mempunyai Sarawak ID, serta akaun aktif dalam aplikasi Spay Global.

Proses permohonan dijangka mengambil masa sekitar sebulan untuk tujuan pengesahan dokumen.

Bantuan tersebut ditawarkan kepada pelajar peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, manakala pembayaran akan disalurkan selepas majlis pelancaran rasmi pada 28 Mei depan yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Datuk Dr Annuar berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma Adenan, Yayasan Sarawak, Kuching hari ini.

BKK IPT Sarawak diumumkan oleh Premier Sarawak dalam Belanjawan 2025 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 tahun lalu, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30 juta.

Bantuan ini bertujuan meringankan kos sara hidup pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, iaitu isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 ke bawah, khusus untuk perbelanjaan makanan dan keperluan asas sepanjang pengajian.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE