fb fb fb fb fb

Petugas TH sedia terima ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia

Pengarah Operasi Madinah merangkap Naib Konsul Haji Malaysia, Affandi Abdullah

MADINAH, 26 April- Pasukan Petugas Tabung Haji (TH) Madinah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang dijadualkan tiba pada 29 April ini. 

Pengarah Operasi Madinah merangkap Naib Konsul Haji Malaysia, Affandi Abdullah berkata bagi musim haji 1446H/2025M, TH menempatkan petugas di setiap zon membabitkan petugas kewangan, kaunseling, kesihatan dan khidmat pelanggan.

"Persiapan akhir, kita lihat ini sebagai operasi tahunan dan lebih 50 peratus petugas TH adalah berpengalaman. Jadi, semua sudah siap siaga untuk menerima kehadiran bakal haji pertama pada tahun ini.

Walau apa jua rintangan dan cabaran yang kita perlu hadapi sebagai persediaan di saat akhir ini, kita siap sedia untuk menyantuni Duyufurrahman," kata Affandi dalam sidang media di Madinah, hari ini. 

Tambahnya, kira-kira 70 petugas akan membantu bakal jemaah haji di Madinah sebelum bergerak mengerjakan ibadah haji di Mekah. 

Tiga lokasi penginapan di Madinah bakal menempatkan jemaah haji Malaysia sepanjang enam hari lima malam iaitu di Anwar Al-Madinah Movenpick, Saja Al-Madinah dan Emaar Royal Hotel Madinah. 

Bagi penerbangan fasa pertama, seramai 284 jemaah haji akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada pukul 7.50 pagi waktu tempatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM