(Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman)
KUALA LUMPUR, 26 Mei- Keperluan kewartawanan data atau ‘data journalism’ penting dalam setiap organisasi media untuk memastikan industri ini terus relevan seiring perkembangan semasa dalam menyampaikan maklumat dan berita yang sahih.
Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berkata setiap organisasi media perlu mempunyai kemahiran data analisis dan mengadaptasi peredaran zaman yang menyaksikan penggunaan teknologi semakin membangun.
"Kita dah nampak 'trend' di mana keperluan 'data journalism' ini sangat penting ,wartawan kita tidak boleh lagi bergantung kepda 5W1H, maksudnya cara -cara kita dilatih dulu masa saya mula-mula terjun ke bidang kewartawanan. Jadi sekarang wartawan kita kena jadi pakar data, kena faham data analitik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jendela Fikir edisi Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Bernama Radio dengan topik Wartawan Mencorak Persepsi Masyarakat hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail.
Sambutan HAWANA 2023 bakal disambut di Ipoh, Perak bermula esok hingga 29 Mei ini dengan tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.
HAWANA 2023 akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti forum media melibatkan wartawan dari negara ASEAN, karnival mini, pertandingan mencari harta karun serta boling dan majlis kemuncak akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.