BUKIT BERUANG, 26 Mei- 150 notis kesalahan dikeluarkan dengan kompaun lebih RM41,000 dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di Melaka pada 24 dan 25 Mei lalu.
Exco Kesihatan Negeri Ngwe Hee Sem berkata, 80 premis diperiksa dalam operasi selama dua hari itu melibatkan kedai makan, restoran dan kedai vape.
Jelasnya, mereka yang dikenakan kompaun memberikan alasan "tidak tahu itu adalah kawasan larangan merokok" kerana tidak nampak tanda yang dipasang peniaga.
Jabatan Kesihatan Negeri telah memberi tempoh beberapa hari kepada peniaga atau pemilik premis untuk segera memasang papan tanda larangan merokok serta menggantikan papan tanda yang lama agar lebih ramai pelanggan peka dengan larangan itu.
"Kita sudah menjadikan kawasan ini sebagai kawasan larangan merokok, namun mereka masih tidak mematuhi peraturan itu.
"Jadi kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberikan amaran kepada pemilik kedai. Selain itu, operasi akan dilakukan dengan lebih kerap supaya mereka tidak merokok di kawasan ini," katanya demikian selepas mengikuti operasi tersebut di sini.
Peniaga atau pemilik premis juga boleh dikenakan notis sekiranya mereka gagal memasang papan tanda larangan merokok.
Tambahnya, peranan pemilik premis juga besar untuk menjadikan Melaka bebas asap rokok terutama menjelang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
(Ngwe Hee Sem)