fb fb fb fb fb

Waris Sulu tuntut aset Malaysia di Belanda

PUTRAJAYA, 30 September- Malaysia sudah memulakan strategi global yang proaktif, bagi menghalang dan mengetepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, Malaysia akan mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar )

Malah tegas beliau, Malaysia tidak akan bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem mahkamah demi kepentingan peribadi.

"Tindakan pihak tersebut menuntut aset Malaysia di Belanda diiktiraf sebagai milik mereka, dianggap mengambil kesempatan dan bertentangan dengan undang-undnag selain mencabul proses mahkamah," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara, perintah yang dikeluarkan Mahkamah di Paris pada Februari lalu, tidak mengikut lunas undang-undang dan mendatangkan implikasi serius kepada kestabilan negara lain.

Malaysia akan meneruskan prosiding Mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepi dan membatalkan perintah berkaitan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Semalam media melaporkan, pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia termasuk rangkaian aset milik Petronas.

Media Baharu