fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM bukan bersifat “jalan-jalan”

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Julai –Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ke luar negara bukan sahaja menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah memperkukuh kerjasama strategik dan membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia.

Tegas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, dakwaan pihak pembangkang bahawa lawatan rasmi itu hanyalah “jalan-jalan” disifatkan sebagai tidak berasas.

Sekali gus, mencerminkan pemikiran sempit yang gagal memahami realiti geopolitik dan geoekonomi semasa.

Beliau berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja memperlekeh peranan diplomatik negara, malah mengabaikan impak besar dilaksanakan Datuk Seri Anwar dalam setiap lawatannya.

"Perdana Menteri memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS. Ini bukan suka-suka, jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh," ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tegas beliau, diplomasi ekonomi dan geopolitik yang digerakkan Datuk Seri Anwar bersifat proaktif dan berpandangan jauh, bukan bersifat simbolik semata-mata.

Langkah itu membuahkan hasil apabila jumlah pelaburan yang diluluskan meningkat sebanyak 14.9 peratus, dengan nilai keseluruhan mencecah RM378 bilion.

Pada masa sama, nilai dagangan negara meningkat kepada RM2.88 trilion, peningkatan sebanyak 9.2 peratus pada tahun 2024.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI