fb fb fb fb fb

Pembinaan SMK Kota Warisan bermula hujung tahun ini - KPM

Foto FB Menteri

SEPANG, 30 September- Isu ketiadaan sekolah menengah di kawasan Kota Warisan di Sepang, Selangor bakal selesai menerusi pembinaan SMK Kota Warisan yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata pembinaannya dapat membantu penduduk setempat untuk menghantar anak ke sekolah yang lebih dekat dengan fasiliti yang lebih baik.

Sekolah tersebut dapat menempatkan sehingga 1,400 pelajar yang turut dilengkapi 42 bilik darjah, padang termasuk bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas.

Tender bagi projek sekolah seluas lebih 4.5 hektar itu sudah diiklankan dan kontraktor yang terpilih akan diberi Surat Setuju Terima (SST) pada awal Disember nanti.

"Ini merupakan satu berita baik untuk mereka di Sepang dan juga di Kota Warisan. Ini kerana, sebelum ini jarak untuk mereka hantar anak ke sekolah agak jauh dan sekolah yang sedia ada telah padat. Kita tidak mahu kelas-kelas dalam sekolah tersebut jumlah muridnya meningkat terlalu tinggi sebab itu kita perlu pastikan pembinaan ini dapat disegerakan," kata Radzi kepada pemberita RTM selepas melawat ke tapak projek sekolah tersebut di Sepang, Selangor.


(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin turun padang meninjau dan mendengar taklimat
berhubung perkembangan projek oleh pegawai JKR dan JPN Selangor/Foto FB Menteri)

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Media Baharu