fb fb fb fb fb

Warga Singapura didakwa atas dua pertuduhan berkaitan dadah

JOHOR BAHRU, 19 Januari- Seorang lelaki warganegara Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini atas dakwaan mengedar dadah seberat 22,217 gram di Iskandar Puteri, 13 Januari lalu.

Tertuduh Muhammad Hairezal Mohd. Rafpi, 33, turut didakwa positif dadah jenis methamphetamine ketika berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, 14 Januari lalu.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsuddin.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Nimetazepam seberat 22,217 gram di sebuah kediaman di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, 10.30 malam, 13 Januari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980), boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Menerusi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dalam badan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Iskandar Puteri, lima pagi, 14 Januari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

8 Mac ditetapkan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan.

(Warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru)

Media Baharu