fb fb fb fb fb

Warga emas maut dirempuh kereta di Jalan Johor Bahru–Air Hitam

FOTO Polis Daerah Johor Bahru Selatan

JOHOR BAHRU, 12 Mei- Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 2 Jalan Johor Bahru–Air Hitam, menghala ke Skudai, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12.40 tengah malam dan melibatkan mangsa berusia 67 tahun yang menunggang motosikal, manakala kereta dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketika pemandu kereta sedang bergerak di lorong kanan daripada tiga lorong di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta gagal mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke cermin hadapan sebelah kiri motokar sebelum jatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah.

Tambah Raub, siasatan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu sah dan motosikal yang ditunggangi telah tamat tempoh cukai jalan sejak tahun 2019.

Ujian pernafasan terhadap pemandu motokar menggunakan peralatan SD2+ menunjukkan keputusan negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Nurulhadi Ali di talian 019-5230102 bagi membantu siasatan," tambah kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE