PORT DICKSON, 12 Disember - Seorang lelaki berusia 67 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Kilometer 29, Lebuhraya Seremban–Port Dickson, awal pagi Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin, kejadian berlaku kira-kira pukul 6:15 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal dari Seremban menuju Port Dickson, dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.
Akibat rempuhan tersebut, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar oleh dua lagi kenderaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun, dan lelaki berusia 36 tahun.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat. Manakala semua kenderaan yang terlibat nahas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, sebelum dihantar ke PUSPAKOM Senawang untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
"Polis juga sedang mengesan saksi bebas serta menunggu keputusan toksikologi dan laporan bedah siasat," tambah Superintendan Maslan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu cuai.