fb fb fb fb fb

APAI2030: Lebih RM3.5 juta disalur kepada 340 SAR di Pulau Pinang

Foto FB Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid

PENAGA, 12 Disember - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan peruntukan berjumlah lebih RM3.5 juta, termasuk sumbangan Al-Huffaz, kepada 340 Sekolah Agama Rakyat (SAR) berdaftar di negeri itu hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam, sejajar dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030).

Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat meningkatkan kualiti pendidikan Islam, sekali gus menyokong pembangunan modal insan berlandaskan nilai keagamaan di Pulau Pinang.

Sokongan bantuan itu katanya merangkumi pembinaan sekolah baharu, penyelenggaraan, penyediaan perabot, serta elaun kepada guru.

"Sumbangan berkenaan dijangka dapat memastikan pengoperasian setiap sekolah berada pada tahap stabil," jelas beliau.

Datuk Dr Mohamad berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Al-Huffaz Tahun 2025 di Kompleks Darul Hidayah, di sini.

Pulau Pinang memiliki 340 buah sekolah Islam berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) merangkumi 12 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), 17 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), 218 Kelas KAFA, 14 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), 44 Maahad Tahfiz, 14 Institusi Pondok dan 21 Tadika Islam Mutiara MADANI yang keseluruhannya menyediakan pendidikan kepada 54,600 murid.

EZA YUSMAWATI YAACOP