fb fb fb fb fb

Wanita tular gambar tatu kalimah Allah ditahan

(Gambar tular/TikTok @firdaus089)

KUALA LUMPUR, 24 Mei- Polis menahan seorang wanita warga tempatan selepas menyebarkan gambar tatu kalimah Allah menerusi laman Facebook '@Bunga Matahari'.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tangkapan ke atas suspek, 46, dilakukan di sebuah lokasi di Gombak, Selangor, semalam.

"Pemilik atau pengendali akaun Facebook '@Bunga Matahari' sebelum ini memuat naik gambar menunjukkan tanda tatu kalimah Allah di badan seorang wanita.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kes juga disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Orang ramai juga diingatkan untuk tidak membuat sebarang hantaran atau menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja di mana-mana platform media sosial kerana boleh membangkitkan perpecahan, keamanan serta menggugat keharmonian kaum.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya

(Foto fail)

Media Baharu