fb fb fb fb fb

Jenazah Ag Askandar tiba di Kathmandu untuk urusan dokumentasi

(FOTO WISMA PUTRA)

PUTRAJAYA, 24 Mei - Jenazah Allahyarham Pengarah Angkatan Petahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di TU Teaching Hospital, Kathmandu pada pukul 4.40 petang (waktu tempatan) untuk proses bedah siasat dan urusan dokumentasi.

Wisma Putra memaklumkan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan berada di hospital itu bagi menyambut jenazah serta membantu melancarkan proses pengurusan jenazah.

(FOTO WISMA PUTRA)

"Proses bedah siasat dan urusan dokumentasi dijangka akan mengambil masa selama dua hari. Sekiranya semua proses berjalan lancar, jenazah dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya pada hari Sabtu, 27 Mei 2023," kata Wisma Putra menerusi kenyataan.

Wisma Putra turut memaklumkan, proses mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim masih lagi dijalankan pihak pasukan penyelamat tempatan.

Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan pencarian pendaki Misi Malaysia Everest 2023 yang masih hilang berjalan lancar.

Berita berkaitan:
Kerajaan salur RM1.48 juta untuk pencarian Muhammad Hawari di Everest

Media Baharu