fb fb fb fb fb

25,042 gram ganja dirampas, empat lelaki direman

(Siaran media IPK Kedah)

ALOR SETAR, 24 Mei- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja melibatkan warga tempatan dengan menemui sebanyak 25,042 gram ganja menerusi tiga operasi berasingan di sekitar Alor Setar dan Sungai Petani dalam tempoh dua hari lalu.

Ketua Polis Kedah  Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, empat lelaki ditahan dalam operasi tersebut dengan operasi pertama pada Isnin lalu menahan dua lelaki dari sebuah kenderaan di kawasan pakir kereta berhampiran sebuah restoran di Jalan Langgar, di sini.

"Hasil pemeriksaan lanjut di tempat duduk penumpang kenderaan, polis menemui sebuah beg mengandungi lima ketulan mampat plastik lut sinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat 5,010 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan tangkapan itu, polis menahan dua lagi lelaki menaiki motosikal di tepi Jalan Lorong Seruling Taman Seruling, Sungai Petani pada pukul 12.40 tengah malam semalam.

Hasil pemeriksaan, beg yang dibawa kedua-dua lelaki terbabit yang diletakkan di atas tanah terdapat lima ketulan mampat disyaki ganja seberat 5,004 gram.

Kurang sejam selepas penahanan kedua-dua suspek itu, polis menemui 15 bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuh-tumbuhan  kering disyaki ganja seberat 15,028 gram dalam sebuah kereta.

"Hasil soal siasat terhadap tangkapan kedua itu, polis menemui 15 bungkusan terbabit di ruangan khas di belakang kusyen penumpang belakang kereta yang diletak di tepi lorong kawasan perumahan Kampung Batu 2 Sungai Petani," katanya.

Ketiga-tiga rampasan dianggarkan bernilai RM77,630 dengan nilai sitaan RM4,109 ringgit.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


(Siaran media IPK Kedah)

Media Baharu