KUALA LUMPUR, 24 Mei - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 sebagai penambahbaikan kepada peruntukan Akta 360.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan turut dibuat kepada peruntukan berkaitan pelepasan automatik bagi menjaga kepentingan pemiutang dan kepentingan awam.
"Individu bankrap juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pentadbiran kebankrapan bagi membantu individu bankrap keluar daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat yang ditetapkan.
"Selain daripada itu, pindaan turut dilaksanakan agar pentadbiran kebankrapan seiring dengan perkembangan teknologi dan penggunaan komunikasi digital," katanya ketika sesi penggulungan tersebut, di Dewan Rakyat.
Pada Masa sama, Azalina turut mendedahkan Individu berusia 35 hingga 44 tahun dikategorikan sebagai golongan paling ramai diisytiharkan muflis iaitu seramai 13,073 orang berdasarkan statistik dari 2019 hingga 2023.
Katanya, dalam tempoh sama juga, seramai 5,297 individu berusia 55 tahun ke atas diisytiharkan muflis, manakala mereka berusia 25 tahun ke bawah melibatkan seramai 107 orang.
Justeru, Azalina berkata selain dari aspek perundangan, pelbagai inisiatif telah dilaksana bagi menangani isu muflis dalam kalangan remaja sekaligus memperbetulkan persepsi masyarakat.
"Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) juga sentiasa melaksanakan program-program kesedaran seperti hari bersama pelanggan, klinik insolvensi dan menggunakan saluran media sosial bagi menggalakan individu bankrap untuk berurusan dan bekerjasama dengan MDI.
"Oleh itu, individu bankrap dapat memahami serta menjalankan tanggungjawabnya dan perkara tersebut dapat membantu individu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dalam tempoh singkat," katanya.
RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 yang dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju.