(Maldives/Reuters)
KUALA LUMPUR, 24 Mei- Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai Atas Pendapatan Dan Pencegahan Pelarian Dan Pengelakan Cukai (PPPDK) bakal merancakkan lagi aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Maldives.
Ke arah itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke Maldives, mengambil kira peluang yang ditawarkan.
Trend dagangan bersama negara itu turut mencatat peningkatan positif pada 2022 dan mencecah RM1.01 bilion, melonjak sebanyak 100.2%.
"Kita harap banyak syarikat tempatan akan melabur ke Maldives yang mempunyai sekurang-kurangnya 1,200 pulau dengan 160 daripadanya memiliki resort.
"Malaysia juga mengalu-alukan syarikat Maldives untuk meraih manfaat daripada penerokaan pelaburan dalam bidang seperti pembuatan makanan dan produk barangan laris,” katanya semasa majlis permeteraian PPPDK di Parlimen hari ini.
PPPDK meliputi hak penentuan mengenakan cukai dan pengurangan kadar cukai pegangan ke atas pendapatan tertentu seperti dividen, faedah, royalti dan fi bagi perkhidmatan teknikal berasaskan timbal balas bagi aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Dengan perjanjian ini, penduduk kedua-dua negara akan dapat menikmati pengelakan dan penghapusan cukai dua kali daripada pendapatan yang sama,” katanya.
Perjanjian itu akan berkuat kuasa sejurus selepas prosedur ratifikasi oleh kedua-dua pihak selesai.
(Ahmad Maslan)