(Muhammad Zahir Mazlan melakukan tinjauan bekalan gula di Jasmine Food Sdn Bhd
di Rantau, Negeri Sembilan)
RANTAU, 24 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menjamin bekalan gula terkawal dan mencukupi bagi keperluan pengguna di negeri itu.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, bekalan gula daripada dua syarikat pengeluar utama mencapai 735 tan metrik sebulan iaitu melebihi anggaran diperlukan kira-kira 600 tan metrik untuk penggunaan 1.2 juta rakyat di negeri berkenaan.
"Dengan kadar yang ada sekarang, KPDN Negeri Sembilan memberi jaminan bahawa bekalan gula di negeri ini adalah stabil. Sehingga hari ini, data menunjukkan bekalan yang masuk ke Negeri Sembilan adalah berjumlah 735 tan metrik sebulan, melebihi keperluan 600 tan metrik," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan bekalan gula di Jasmine Food Sdn Bhd, di sini.
Tambah beliau, setakat semalam, bekalan gula di 11 pemborong utama yang dibekalkan syarikat pengeluar di negeri itu adalah mencukupi.
Pihaknya juga telah melakukan 31,054 pemeriksaan sejak awal tahun dan tiada aduan rasmi diterima setakat ini.
KPDN Negeri Sembilan juga telah mengadakan perbincangan bersama pemborong utama gula bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan gula di pasaran serta menjamin bekalan di Negeri Sembilan sentiasa mencukupi.
Dalam pada itu, rata-rata orang awam dan peniaga di negeri tersebut mengakui tidak berdepan dengan kekangan dalam mendapatkan bekalan gula dan berpuas hati dengan harga yang ditetapkan bagi barangan terkawal berkenaan.
"Bagi saya, stok gula amat mencukupi, dan tiada masalah dari segi harga. Sebab apa, harga yang mampu milik untuk semua," Muhammad Zharfan Mohd Azam, orang awam.
"Alhamdulillah, stok gula di Negeri Sembilan mencukupi. Senang boleh dapat lah, harga pun mengikut piawaian yang ditetapkan," Ahmad Dandarawi Roslam, orang awam.
"Setakat ini bagi saya, stok gula di Negeri Sembilan mencukupi je untuk peniaga-peniaga. Saya pun selalu pergi ke kedai dan tidak pernah lagi saya pergi kedai gula tiada stok, selalunya ada saja. Harga pun tidak mahal, masih ikut harga yang ditetapkan," Ahmad Nadzrin Rizal, peniaga.
(Muhammad Zahir Mazlan)