GOMBAK, 24 Mei - Jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub dijangka tiba di tanah air, Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Menteri Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham berjaya dibawa turun menggunakan helikopter ke Base Camp, Everest hari ini pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan.
"InsyaAllah selepas proses tertentu di hospital berkaitan di Kathmandu, kita akan menerbangkan jenazah tersebut ke Malaysia dan seterusnya dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah untuk kita penuhi hasrat ahli keluarga beliau inginkan jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung sendiri.
"InsyaAllah Jumaat ini, jenazah akan sampai ke Kota Kinabalu dan kemungkinan hari sama atau selewatnya Sabtu pengebumian jenazah itu boleh dilakukan di Kampung Benoni, Papar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Ramah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.
Mengulas mengenai isteri dan anak-anak Allahyarham, Armizan berkata pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah membawa mereka pulang ke Sabah.
"Untuk pengetahuan, ahli keluarga beliau, isteri dan anak-anak beliau sebelum ini menetap di Kedah dan semalam APM dan pelbagai pihak telah membantu membawa balik keluarga beliau ke Sabah untuk menantikan ketibaan jenazah," katanya.