LANGKAWI, 25 Mei- Sesi Santai Petang dan Dialog Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak muda Langkawi.
Program santai itu dihadiri lebih 1,000 belia di daerah ini memenuhi Dewan Kolej Vokasional Langkawi dan setiap soalan yang diajukan diperjelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelbagai pertanyaan yang diberikan termasuk berkaitan pendidikan serta anak muda, antara yang mencuri tumpuan ialah bantuan e-Tunai Belia Rahmah.
Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan memaklumkan bantuan e-tunai tersebut bakal diagihkan tahun ini.
"Kalau jawapan itu daripada Menteri Kewangan maksudnya betul, tapi kalau maklumat itu diperolehi daripada media sosial, susah untuk dijawab. Insya Allah bulan Jun kita beri," katanya pada Santai Petang dan Dialog Bersama YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kolej Vokasional Langkawi.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Bagi tahun 2023, sebanyak RM400 juta diperuntuk untuk bantuan e-Tunai Belia Rahmah kepada dua juta belia di seluruh negara.
Bantuan itu akan meringankan beban kewangan golongan belia seiring menggalakkan transaksi tanpa tunai.
(Anwar Ibrahim dalam Sesi Santai Petang dan Dialog di Langkawi)