LANGKAWI, 25 Mei- Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri akan terus mempertingkat usaha bagi keanggotaan sukarela baharu berdasarkan sasaran yang ditetapkan bagi memperkasakan Askar Wataniah.
Selain pengambilan anggota dalam kalangan penjawat awam dan pemimpin setempat, pengambilan kini tertumpu kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) khususnya di Perlis.
Pemangku Raja Perlis yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rejimen ini menetapkan sasaran seramai 330 anggota baharu dapat dilatih setiap tahun daripada 11 buah IPTA dan IPTS di Perlis.
Program berkenaan sebagai langkah strategik ke arah mencapai sasaran 80,000 anggota sukarela Askar Wataniah seluruh negara menjelang 2025 menerusi Pembangunan Jangka Panjang Tentera Darat iaitu ‘Army For Next Generation (Army 4NextG) dan Pelan Strategik Halatuju Askar Wataniah 2022-2030.
Baginda bertitah pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Rejimen 504 Askar Wataniah bersama 4 buah pusat pengajian tinggi awam yang berlangsung di Langkawi.
Empat buah pusat pengajian tinggi berkenaan ialah Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Rejimen 504 Askar Wataniah berusaha untuk mencapai kekuatan anggota kepada satu nisbah satu bilangan anggota tetap dan perlu mengukuhkan lagi strategi promosi serta pengambilan agar lebih efisien dan efektif.
Dalam masa yang sama baginda turut dijadual mengunjungi pameran bagi kedua-dua segmen yang berlangsung, selain meneroka peluang kerjasama antara Perlis dengan negeri-negeri dalam negara serta negara yang menyertai LIMA'23 khususnya berkaitan permindahan teknologi yang boleh diaplikasi untuk pembangunan negeri Perlis.
Selain itu, baginda juga berpeluang menguji aset maritim dan aeroangkasa serta mendapatkan perkembangan terkini berkaitan teknologi terbaharu yang akan digunakan bagi memperkukuhkan pertahanan negara.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
(Foto hiasan)