LANGKAWI, 25 Mei- Penganjuran LIMA'23 menerima respon positif dari segi penglibatan hubungan dua hala dan pelaburan malah meningkatkan kerjasama perdagangan antara negara serta syarikat yang terlibat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan positif ini tidak hanya tertumpu kepada sektor Aeroangkasa, bahkan reaksi sama turut ditunjukkan dalam sektor Maritim.
"LIMA telah menyaksikan peningkatan penglibatan dan minat bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan dua hala malah dari segi pelaburan dan perdagangan antara rakan kerjasama.
"Apa yang telah kita capai dalam beberapa hari kebelakangan ini, adalah penglibatan yang lebih teguh, bukan sahaja bagi sektor aeroangkasa malah maritim," dalam Majlis Resepsi Persidangan Maritim Antarabangsa sempena LIMA'23 di sini.
Jelasnya, hubungan sedia ada antara Malaysia dengan negara yang terlibat dengan LIMA sebelum ini juga kekal utuh, khususnya melibatkan negara-negara ASEAN, Turkiye, Amerika Syarikat, Rusia dan Romania.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Kebangsaan Korea Selatan, Lee Jong-sup.
Pertemuan berlangsung kira-kira setengah jam itu membincangkan pelbagai perkara mengenai isu semasa dan industri pertahanan kedua-dua negara.
Jong-sup yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia sempena LIMA’23 turut berkunjung ke pameran berkenaan di MIEC.
Selain itu, beberapa MOU turut dimeterai antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi pameran dwitahunan ini, selain mengadakan penerbangan persahabatan TUDM dan Black Eagles.
Sejurus selepas itu, Anwar turut menerima kunjungan Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam Somalia, Fardowsa Osman Egal.
(Anwar Ibrahim)