fb fb fb fb fb

Kereta terbakar ketika dipandu, pemandu wanita selamat

Foto JBPM Perlis

KUALA PERLIS, 8 Ogos- Seorang wanita terselamat apabila kereta Proton Waja yang dinaiki secara tiba-tiba terbakar di Jalan Marhom Kayang berhampiran Kampung Tok Kuning, Kuala Perlis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi ketika mangsa yang berusia 30-an sedang memandu keretanya ke Kangar.

 
(Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis memadamkan kereta terbakar / Foto JBPM Perlis)

Tiba dilokasi kejadian, keretanya secara tiba-tiba berasap dan terbakar dengan sendirinya menyebabkan mangsa segera memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira 8.06 pagi.

Sebuah jentera dan kenderaan utiliti dari Balai Bomba Penyelamat Kuala Perlis bergegas ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Noordy Adzriff bersama 5 anggota.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 8.18 pagi dan kereta terbabit musnah 95%.

Operasi tamat jam 8.47 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Media Baharu