KUANTAN, 30 Disember - Seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM 37 Jalan Kuantan-Segamat, kira-kira pukul 8.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin dalam kenyataan berkata, kemalangan itu mengakibatkan Nur Ezyyantie Aliakbar, 30, yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Temai, Pekan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki empat sekeluarga dari Kuantan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan, berlanggar dengan kereta dinaiki arwah bersama-sama suami dan dua anaknya, yang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.
Mohd Zaidi berkata suami Nur Ezyyantie dan dua anak perempuannya mengalami kecederaan parah, dan kesemua mereka, termasuk empat sekeluarga yang tercedera dalam kejadian, kini dirawat Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.