fb fb fb fb fb

Wanita maut, anak cedera kemalangan tiga kenderaan di Setiu

Keadaan Toyota Avanza dipandu Nik Nabilah yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Lembah Bidong/ Foto: IPD Setiu

SETIU, 18 Julai- Seorang wanita maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terlibat kemalangan dengan dua buah lagi kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari berdekatan pintu gerbang sempadan Setiu itu menyebabkan mangsa, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau memaklumkan , anak mangsa, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, yang berada di tempat duduk belakang luka pada tangan kanan manakala tiga lagi mangsa kemalangan tidak mengalami kecederaan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV jenis Toyota Avanza dipandu wanita itu hilang kawalan lalu bergesel dengan bahagian sisi belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

"Dalam masa yang sama kenderaan dipandu mangsa turut bertembung dengan bahagian hadapan sebelah kanan sebuah bas yang juga datang dari arah bertentangan," katanya.

Beliau berkata Wan Muhammad Aqil telah dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan manakala ibunya dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Besut menghala ke Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

Mohd Zain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

ZEHRA BINTI ZAMBRI