fb fb fb fb fb

Menteri Kanan Singapura, Lee akan lawat Malaysia, hadir Istiadat Pertabalan Agong

Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong/ BERNAMA

SINGAPURA, 18 Julai - Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong akan melawat Malaysia dari 19 hingga 22 Julai untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini berkata Lee adalah antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Seri Paduka Baginda untuk menghadiri istiadat pertabalan itu.

Semasa lawatan berkenaan, bekas perdana menteri itu akan menghadiri istiadat pertabalan dan Majlis Santapan Diraja.

Lee juga bakal bertemu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu, Menteri dan pemimpin Malaysia, serta berucap pada majlis makan malam Kelab Perniagaan Kuala Lumpur.

Beliau juga akan menghadiri majlis resepsi untuk warga Singapura di luar negara yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.

Lee akan diiringi oleh isterinya Ho Ching, Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI