SAMARAHAN, 10 April- Seorang wanita berjaya menyelamatkan diri selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam satu kemalangan yang membabitkan dua buah kereta jenis sedan di Jalan Samarahan Expressway, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 11.10 malam yang melaporkan kejadian tersebut.
Dalam kemalangan itu, wanita yang memandu salah sebuah kereta sedan bersama dua lelaki yang menaiki sebuah lagi kereta sedan berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Mereka kemudiannya dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi pemadaman dan penyelamatan tamat sekitar pukul 11.51 malam. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian.