PASIR PUTEH, 10 April- Taktik licik sindiket penyeludupan rokok yang menggunakan laluan laut sebelum mendaratkan 1.2 juta batang rokok putih seludup di sekitar 40 kilometer dari Thailand berjaya ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan.
Rampasan tersebut dilakukan hasil intipan oleh pegawai dan anggota Maritim Malaysia melalui Operasi Naga (Op Naga) pada pukul 8 pagi kelmarin di tebing Sungai Pengkalan Ekor Pasir Tendong, Pasir Mas, dengan nilai keseluruhan hampir 1 juta ringgit.
Selain rokok, tujuh buah kenderaan turut dirampas dan seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi, berkata operasi itu dijalankan setelah pihaknya menerima maklumat risikan pada pukul 4.15 pagi mengenai pergerakan bot pancung dari Thailand menuju muara Sungai Kelantan dalam keadaan mencurigakan.
"Bagaimanapun, pada pukul 6 pagi kami telah menemui longgokkan rokok yang ditinggalkan di tebing Sungai Tendong Pasir Mas. Hasil pemeriksaan mendapati lima buah kenderaan telah berisi sarat peti rokok putih bersama dua buah motosikal dan dua dompet yang ditinggalkan bersama kenderaan tersebut,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Pasir Puteh, hari ini.
Kepten Erwan Shah turut memaklumkan bahawa kesemua tujuh kenderaan dan 1.2 juta batang rokok putih yang dirampas itu akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Seksyen 135 (E).
Mengulas lanjut, beliau berkata, taktik terbaru yang digunakan sindiket tersebut melibatkan pemilihan lokasi terpencil bagi melakukan pendaratan, berbeza dengan modus operandi sebelum ini yang lebih tertumpu kepada lokasi pesisir pantai.
Maritim Malaysia Kelantan komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memastikan perairan negara bebas daripada ancaman penyeludupan.