KUALA LUMPUR, 10 April- Agenda peralihan tenaga akan diperkukuh untuk meningkatkan kemampanan di rantau ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia komited menjadi pemangkin, mencapai agenda tersebut.
Beliau berkata, ASEAN berupaya mengoptimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, seterusnya meningkatkan daya saing dalam sektor tenaga.
"Dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, ASEAN akan mempergiatkan usaha untuk merapatkan sempadan melalui inisiatif tenaga yang diselaraskan, memanfaatkan kekuatan kolektif untuk lebih berdaya tahan, menghubungkan ekosistem tenaga.
"Melalui mesyuarat yang strategik, dialog dasar dan perkongsian pelbagai sektor, Malaysia akan menerajui ASEAN dalam membangunkan kerjasama penyelesaian yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan alam sekitar secara bertanggungjawab", katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama Forum Perniagaan Asia Pasifik 2025: Peralihan Tenaga ke Arah Pelepasan Sifar Bersih: Cabaran dan Peluang di ibu negara.
Datuk Seri Fadillah turut memaklumkan, Malaysia dan rantau Asia Pasifik berpotensi menjadi peneraju global dalam revolusi tenaga bersih.
Perkara itu dapat dicapai dengan dipacu kedudukan lokasi strategik, limpahan cahaya matahari dan tekad politik yang kukuh.
Beliau optimis Malaysia ketika ini berada di landasan terbaik untuk menjadi kuasa tenaga solar.
"Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk negara ini mempunyai potensi besar untuk tenaga biojisim, dan pembangunan kuasa hidro. Kejayaan pelaksanaan ladang solar terapung dan projek solar berskala besar di seluruh negara menunjukkan keupayaan kita dalam memanfaatkan sumber tenaga bersih", katanya.