fb fb fb fb fb

Wanita berpurdah cuba bunuh diri

KELANTAN, 29 September- Wanita berpurdah yang tular di media sosial yang didakwa cuba membunuh diri di Jambatan Sultan Yahya Petra Kota Bharu, Kelantan semalam merupakan seorang guru.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud. Pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 2.31 petang memaklumkan terdapat seorang wanita berada di atas jambatan berkenaan.


(Wanita berpurdah sedang dipujuk oleh orang ramai yang cuba untuk bunuh diri
di Jambatan Sultan Yahya Petra Kota Bharu /Foto FB Hello Kelantan)

Selepas menerima panggilan, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan mangsa tidak menaiki kenderaan sebaliknya hanya berjalan kaki dari Kota Bharu menghala ke Tumpat.

Hasil siasatan awal secara lisan mendapati, guru berusia 54 tahun itu bertindak sedemikian disebabkan masalah rumahtangga dan kemurungan. Mangsa telah dirujuk ke hospital.

Jelas beliau, tiada sebarang kecederaan dialami oleh wanita berkenaan.

Semalam, tular seorang wanita berniqab dalam keadaan yang mencurigakan berada di atas jambatan Sultan Yahya Petra Kota Bharu.

Saksi menahan mangsa yang dikatakan cuba membunuh diri dengan cara terjun dari jambatan terbabit. Saksi turut membantu mangsa dan membawa mangsa ke Balai Polis Wakaf Baru, Tumpat.

Guru berasal dari Pengkalan Chepa itu dipercayai cuba untuk memanjat tembok jambatan kira-kira jam 1.40 tengahari sebelum diselamatkan.

Kejadian sama berlaku pada Sabtu lalu, apabila tular seorang wanita berusia 40-an yang didakwa cuba terjun di jambatan ini namum gagal apabila dia berjaya diselamatkan penduduk kampung dan pengguna jalanraya yang melalui lokasi tersebut.

Walaubagaimanapun, polis mengesahkan tiada cubaan bunuh diri di lokasi kejadian sebaliknya wanita terbabit dikatakan hanya bersandar di jambatan dan mendiamkan diri apabila ditanya orang awam.

Media Baharu