fb fb fb fb fb

60% Jalan Persekutuan capai tempoh luput, RM3 bilion diperlukan untuk pembaikian

PUNCAK ALAM, 29 September- RM3 bilion peruntukan diperlukan untuk membaiki kira-kira 60 peratus jalan persekutuan yang sudah rosak atau luput tempoh hayatnya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan syarikat konsensi selain mendapatkan maklum balas semua kementerian mengenai hala tuju pembinaan.

"Kita kena bekerjasama dgn pelbagai pihak pendekatan kita pelbagai tp yg penting kita kena bina baru pastikan keselesaaan dan keselamatan itu dapat terjamin kepada pengguna kita," kata Fadillah kepada RTM selepas menghadiri Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Bawah Kontrak Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia 2022.

Dalam majlis itu, sejumlah RM130 juta peruntukkan tambahan telah diluluskan Kementerian Kewangan bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala turapan di Jalan Persekutuan seluruh negara secara one-off pada 13 September lepas.


(Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi
bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Bawah Kontrak Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia 2022)

Katanya, kelulusan peruntukan tambahan ini adalah bukti komitmen kerajaan Persekutuan yang prihatin dalam isu berkaitan penyenggaraan infrastruktur negara, khususnya jalan raya seterusnya membuka peluang perniagaan kepada kontraktor kecil khususnya gred G1 hingga G4.

Beliau berkata semua peruntukan telah selesai ditawarkan kepada kontraktor di negeri semenanjung melalui 180 kerja bernilai RM113 juta dan RM17 juta lagi disalurkan kepada kontraktor di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui 17 kerja. 

“Kesemua kerja-kerja ini dianggarkan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan setengah atau pada November depan,” katanya sambil mengingatkan para kontraktor khususnya dalam kalangan bumiputera dari gred G1 ke G4 agar tidak bergantung harap kepada kontrak kerja atau projek kerajaan semata-mata.

“Kalau kita melihat konteks di negara kita, lebih banyak sebenarnya adalah kerja-kerja yang disumbangkan pihak swasta berbanding di peringkat kerajaan yang tidak sampai 30 peratus daripada pembangunan keseluruhan projek pembinaan di negara kita.

Justeru katanya Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan memastikan para kontraktor tersebut diberi latihan dan dihubungkan dengan pihak swasta supaya mereka diberi peluang perniagaan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang melihat sistem agihan kerja yang pelbagai bagi memastikan semua kumpulan kontraktor dapat merasai peluang yang diwujudkan kerajaan. 

Media Baharu