fb fb fb fb fb

Wanita berihram di tanah suci, tindakan tegas akan diambil

PUTRAJAYA, 13 Ogos- Tindakan tegas akan diambil terhadap seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki sebaik sahaja dia pulang ke tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyiasat bagi memastikan kesahihan isu yang sedang tular di media sosial tersebut.

Semalam, tular di media sosial seorang wanita yang mengenakan pakaian ihram seperti jemaah lelaki semasa mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah.

Menurut Datuk Idris lagi, tindakan tegas yang akan dikenakan bukanlah tujuan untuk menghukum semata-mata tetapi untuk menyedarkan golongan ini supaya kembali ke pangkal jalan.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu dan membimbing golongan LGBT ini untuk kembali ke fitrah kejadian mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad

Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya jangan mengambil mudah isu dosa dan pahala sehingga sanggup mengadaikan maruah agama demi kepentingan mereka.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jaulah Dakwah dan Imarah ke Lenggong, Perak bagi Tahun 2022, di sini.

Program konvoi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan agama Islam Perak (JAIPk) ini bertujuan untuk meyebarkan dakwah kepada masyarakat di kawasan pedalaman termasuk golongan orang Asli.

Media Baharu