fb fb fb fb fb

Litar perlumbaan drag bakal dibina di setiap negeri - PM

(FOTO HIASAN)

KUALA NERUS, 13 Ogos – Kerajaan bercadang untuk membina litar perlumbaan drag di setiap negeri bagi menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan peminat sukan permotoran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan untuk membina kesemua litar berkenaan akan dimasukkan di dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober depan.

Katanya, setakat ini, hanya Terengganu dan Melaka sudah mempunyai litar tersebut.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob / FOTO BERNAMA)

" Apabila litar tersebut siap kelak, sudah tentu akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Yahama RXZ Members 4.0 di Litar Permotoran Gong Badak, di sini.

Litar permotoran tersebut dibanjiri lebih 30,000 pemilik motosikal Yamaha RXZ seluruh negara untuk menyertai program tersebut sejak semalam.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail turut menyeru golongan muda untuk menyertai MyFit@Motorsports 2022 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, program pembangunan pemotoran peringkat akar umbi itu melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta.

"Di bawah program ini, para peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik bagi mencungkil bakat atlet pemotoran negara di pelbagai peringkat dengan menyertai kejohanan dan perlumbaan di peringkat negeri dan nasional," katanya.

Media Baharu