LUMUT, 22 September- Seramai 26,534 pelajar yang akan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pada Oktober ini menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bernilai RM1,500 setiap seorang.
Pemberian WPP daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang layak itu melibatkan peruntukan sebanyak RM39.8 juta.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki universiti awam dan politeknik.
"Tanggungjawab kita di peringkat PTPTN dan kerajaan untuk memastikan supaya semua pelajar yang menerima tawaran untuk masuk ke IPTA itu dapat melanjutkan pengajian dan mendaftarkan diri mereka.
"Antara itulah kita memperkenalkan inisiatif WPP yang mana ia bukan perkara baharu, iaitu wang pendahuluan dan saya menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak akan membiarkan mereka sama sekali untuk tidak dapat memasuki ke universiti", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan WPP PTPTN di Lumut.
Di Perak seramai 2,287 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM3.43 juta.
WPP yang diperkenalkan sejak 1999, berjaya memanfaatkan seramai 980,120 pelajar membabitkan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion.
Sementara itu, penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana pemberian WPP tersebut dapat meringkan beban keluarga.
"Memudahkan, banyak proses yang memudahkan kami bantuan awal pendahuluan ini, sebab kalau nak tunggu biasiswa dan sebagainya mengambil proses yang agak panjang. Jadi untuk wang pendahuluan membantu sedikit sebanyak", kata pelajar Ahmad Izham Kamarulizam.
"Sangat terima kasih kepada pihak PTPTN untuk mengadakan acara ini. Acara WPP dan ini sangat membantu kepada keluarga B40 meringkan beban mereka dan dapat menggunakan wang ini membeli barang keperluan, sangat berterima kasih", ujar pelajar Eliza Ling Zhin Yee.
"Wang WPP sangat membantu untuk membeli barangan keperluan asas untuk memasuki universiti kepada pelajar yang daripada keluarga yang tidak mampu", kata Km Saranya.
WPP boleh ditunaikan mulai 24 September di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara.
Permohonan pinjaman PTPTN boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN dan pelajar perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).